Pemasaran menggunakan blog

Blog atau 'web log' sangat popular sekarang. Boleh dikatakan setiap orang telah mempunyai blog sendiri. Anda boleh mendapatkan blog anda secara percuma di blogger.com atau wordpress.com

Fungsi blog yang dulunya hanya sebagai diari peribadi online kini telah bertukar menjadi medium komunikasi dan pemasaran di internet.

Kenapa blog?

Apa kelebihan blog? Kenapa blog? Kenapa tidak laman web biasa? Ini soalan yang bagus. Blog dilihat telah mendominasi internet. Di mana-mana saja ada blog. Terdapat beberapa faktor utama kenapa blog semakin popular dan mendapat tempat

  1. Enjin carian sukakan blog kerana ia lebih kerap dikemaskini dan mempunyai kandungan yang tulen dan dikarang oleh penulis blog sendiri.
  2. Orang ramai sukakan blog kerana ia mudah untuk dibina dan dikemaskini

Bagaimana blog boleh membantu aktiviti pemasaran anda?

Blog kini digunakan sebagai alat untuk pemasaran secara tidak langsung. Jika anda mempunyai perniagaan, anda disarankan mewujudkan satu blog tentang perniagaan dan perkhidmatan yang anda usahakan.

Contohnya jika anda mempunyai perniagaan kereta, anda boleh membina satu blog menceritakan tips dan teknik memilih kenderaan yang sesuai, cara memohon pinjaman, maklumat semasa mengenai industri dan sebagainya.

Ini akan menjadikan anda dilihat sebagai seorang yang mahir dalam bidang anda dan seterusnya memberikan kepercayaan kepada orang ramai untuk berurusan dengan anda.